I made this widget at MyFlashFetish.com.

August 14, 2011

damba kasih ILAHI



Sahabat yang dirahmati Allah sekalian,
Jelas kepada setiap individu muslim yang termaktub di dalam al-Quran untuk beriman dan mentaati perintah Allah S.W.T dan menjauhi larangan Allah S.W.T. Setiap makhluk dan kejadian yang dicipta di dunia ini mempunyai peranan dan fungsi tersendiri. Allah S.W.T mencipta makhluk-Nya, menunjukkan keagungan dan kekuasaan-Nya. Tetapi adakah kita sedar bahawa kejadian yang ada di bumi ini adalah menunjukkan kekuasaan-Nya?
Langit yang membiru di atas sana, dilitupi dengan awan-awan putih yang sentiasa bergerak, pokok-pokok menghijau yang sentiasa menyuburkan tanah, 
lautan yang luas, bulan yang sentiasa bersilih ganti dengan matahari menerangi muka bumi ini dan banyak lagi kejadian yang menunjukkan kekuasaan-Nya. Subahanallah! Maha Suci Allah yang mempunyai zat dan Yang Maha Bijaksana.
Lihatlah kebesaran Allah S.W.T.
Marilah kita sama-sama tenangkan fikiran dan cuba mendongak ke langit, melihat ke kanan, melihat kekiri, memandang hadapan, memandang ke belakang, menunduk kebawah, dan akhir sekali melihat diri kita. Lihatlah ciptaan Allah yang Agung ini. Jika kita 'malas' untuk melihat alam ini, kita hanya perlu lihat diri kita! Merasai diri kita! Ya! Diri kita. Cubalah pegang telinga kita, mata, mulut , hidung dan semua tubuh badan kita. Betapa kerdilnya kita di.sisi Allah.
Subahanallah! Cukup sempurna ciptaan Allah ini. Tetapi, adakah kita bersyukur kepada Allah dengan nikmat yang diberikan kepada kita? Adakah kita gunakan anggota badan kita dengan sebaik-baiknya yakni melakukan ibadah kepada Allah dan meninggalkan larangan-Nya? Tidak cukup sekadar itu, adakah kita menjalankan tanggungjawab kita sebagai khalifah di bumi ini dengan menyuruh kepada kebaikan dan melarang kepada keburukan? Muhasabah diri kita kembali sahabat, supaya kita tidak jauh daripada rahmat Allah.
Apakah kegunaan mata, telinga, mulut, tangan, dan kaki kita sahabat? Sudah tentu kita menjawab, mata untuk melihat, telinga untuk mendengar, mulut untuk berbicara, tangan untuk memegang, dan kaki untuk berjalan. Ya, semua jawapan itu benar. Tetapi cuba kita lihat di penghujung dunia zaman sekarang ini:
Mata
Mata yang sepatutnya digunakan untuk melihat keindahan dan keagungan ciptaan Allah digunakan untuk melihat maksiat contohnya melihat aurat. Wanita menunjukkan aurat dengan berpakaian menjolok mata dan begitu juga sebaliknya. Pornografi (bahan lucah) juga menjadi tontonan dan hiburan dewasa, remaja bahkan kanak-kanak zaman sekarang. Nauzubillahiminzalik.
Telinga
Kurniaan Allah kepada manusia untuk mendengar sesuatu yang baik seperti alunan zikir, bacaan al-Quran disia-siakan dengan mendengar umpatan-umpatan, tohmahan-tohmahan dan fitnah-fitnah yang tidak sepatutnya kita dengar. Alunan muzik keras dan melalaikan yang menjadi pilihan zaman sekarang.
Mulut
Mulut merupakan anggota badan yang membolehkan kita berkomunikasi. Kesempurnaan ciptaan Allah ini adalah untuk kita lantunkan alunan zikir, tahmid, tasbih, tahlil, serta membasahkan lidah kita dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Mulut juga sebagai anggota tubuh badan untuk makan dan minum rezeki yang halal. Namun segelintir kita menyalahgunakan dengan mengucapkan kata-kata nista, mengumpat, mencaci, memfitnah, meminum minuman keras, dan bercakap benda yang tidak bermanfaat.
Tangan
Maha suci Allah menjadikan tangan untuk melengkapi tubuh badan manusia yang berfungsi untuk memegang dan menjalankan aktiviti yang menjadi ibadah kita kepada Allah. Namun kejadian yang indah ini digunakan untuk memegang minuman keras, memukul orang tidak berdosa, membunuh bayi yang tidak berdosa seperti anak luar nikah, mencuri, memberi rasuah dan melakukan kemaksiatan kepada Allah. Astaghfirulahal azim.
Kaki
Tanpa kaki kita sukar untuk melakukan aktiviti harian, dan tanpa kaki juga kita tidak mampu bergerak sesuka hati. Anugerah Allah ini adalah untuk kesenangan manusia melakukan ibadah kepada-Nya namun telah disalah gunakan dengan melangkah ke lembah hina seperti melangkah ke kelab malam, tempat pelacuran, tempat judi, bar dan macam-macam lagi.
Ya Allah, adakah kita sedar apa yang kita lakukan dengan anggota tubuh badan kita? Adakah ini caranya kita mengucap syukur kepada Allah dengan kurniaan yang diberikan kepada kita? Nauzubillahimin zalik. Semoga kita sentiasa dilindungi Allah dan sentiasa dibawah rahmat-Nya.
Namun begitu sahabat, adakah kita tahu apakah yang mengendalikan anggota tubuh badan kita?
Hati merupakan satu organ yang mengendalikan dan mengawal segala perbuatan kita. Mengapa saya berkata begitu?
Dalam sebuah hadis Riwayat Bukhari dan Muslim:
"Tidakkah dalam setiap tubuh itu ada seketul daging. Sekiranya baik, baiklah seluruh tubuh itu. Dan sekiranya tidak baik tidak baiklah seluruh tubuh itu. Dan itu adalah hati."
Hati mengendalikan setiap anggota tubuh badan yang lain, jika baik keadaan hati itu, maka baiklah kegunaan anggota tubuh badan kita. Jika tidak baik keadaan hati maka anggota badan digunakan kearah kemaksiatan.
Jadi sahabat, kita perlu sentiasa menjaga hati kita supaya kita sentiasa menjaga kesucian hati kita. Hati yang tenang adalah daripada hati yang tulus ikhlas untuk beribadah kepada Allah.Hatilah juga yang menggerakkan fikiran untuk menggunakan anggota tubuh badan kita dengan baik.
Jadi bagaimana untuk kita jaga hati kita ini sahabat? Hendaklah kita sentiasa bertaubatkepada Allah setiap kali kita melakukan dosa supaya hati kita sentiasa disinari 'Nur' dari Allah. Untuk mempertahankan hati kita supaya tidak dirobek Syaitan laknatullah maka kita harus sentiasa berzikir kepada Allah dan membasahkan lidah dengan bacaan al-Quran. Dengan itu, kita akan mendapat ketenangan daripada Allah Taala.
Pahala bagi orang-orang yang bersabar menurut Ali r.a. berkata bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda:
"Sabar itu ada tiga:
1. Sabar terhadap musibah, yakni sabar dan tidak merasa marah terhadap musibah yang menimpanya sebaliknya dia menerima dengan baik musibah itu. Maka Allah S.W.T. mencatatkan baginya yakni mentakdirnya atau menyuruh menulis di Luh Mahfuz 300 darjat, yakni darjat yang tertinggi di Syurga dan setiap satu darjat antara satu darjat itu seperti langit dan bumi.
2. Barang siapa yang bersabar dalam taat yakni mengerjakan taat dan menanggung kesukaran taat itu maka Allah S.W.T. akan mencatatkan baginya 600 darjat yang mana satu darjat itu seperti permukaan bumi yang atas hingga ke penghabisan bumi yang terakhir.
3. Barang siapa bersabar dari maksiat, yakni meninggalkan kerja-kerja maksiat maka Allah S.W.T. akan mencatatkan baginya 900 darjat yang mana setiap satu darjat antara satu darjat itu seperti permukaan bumi hingga ke Arasy. Dan dia adalah makhluk darjatnya dua kali ganda. Sabar menjauhi segala yang diharamkan itu martabatnya paling tinggi yang paling tinggi."
Dalam al-Quran yang suci Allah telah berfirman yang bermaksud:
Katakanlah:"Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesunnguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah Az-Zumar ayat 53)
Kita sebagai hamba-Nya tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan dan kekhilafan, jadi bertaubatlah kepada Allah Yang Maha Mendengar taubat. Semoga sinar hidayah menerangi kehidupan kita dan menjadi hala tuju kita untuk ke Syurga Allah yang kita idam-idamkan, Insya-Allah.
Ya Allah,
Ku menadah kedua belah tanganku untuk memohon kepada-Mu, Ya Rabb!
Aku mohon Ya Allah supaya engkau memelihara hati-hati kami dan seluruh jasad kami daripada melakukan maksiat kepada-Mu Ya Allah,
Kami adalah hamba-Mu yang kerdil lagi hina ya Allah,
Kami bertaubat kepada-Mu dengan apa yang telah kami lakukan kepada-Mu selama ini Ya Allah,
Dosa-dosa yang menggunung tinggi Ya Allah,
Engkaulah Yang Maha Pengampun,
Ampunilah dosa-dosa kami,
Kami mohon Ya Allah supaya Engkau pelihara kami daripada hasutan Syaitan yang direjam,
Terimalah taubat kami ini Ya Allah.
Semoga kita sentiasa dipelihara dan dilindungi Allah, Insya-Allah.

doa yang mustajab..


alt

Solat hajat merupakan amalan yang sinonim dengan masyarakat kita. Selalunya jikalau ada sesetengah perkara contohnya peperiksaan anak, solat hajat selalunya didirikan dengan bacaan-bacaan tertentu untuk memohon pertolongan Allah S.W.T di dalam sesuatu perkara ataupun selain daripada itu.
Namun pernahkah kita menyemak semula, adakah solat hajat itu dari amalan Rasulullah S.A.W? Apakah baginda S.A.W dan para sahabat pernah mendirikan solat hajat bagi memohon pertolongan Allah S.W.T? Adakah para sahabat pernah mengamalkannya di kala kesusahan? Jikalau baginda S.A.W tidak pernah mengamalkannya, maka apakah amalan yang baginda S.A.W dirikan bagi memohon pertolongan Allah S.W.T semasa baginda mempunyai hajat ataupun ketika ditimpa kesusahan? Apakah waktu-waktu yang baik untuk kita berdoa, agar amalan kita selari dengan kaedah dan amalan yang telah dilakukan Nabi Muhammad S.A.W? Apakah ada alternatif lain bagi kita untuk berdoa memohon hajat, selain daripada mendirikan solat hajat?

Sesungguhnya amalan solat hajat itu berasal dari hadis yang tidak berapa kuat sanadnya, atau dengan kata lain, hadis yang dhaif. Adapun bagi mereka yang mengatakan amalan solat hajat itu ada dalam amalan sunnah, dalam masa yang sama mereka mengatakan bahawa:

1) Tidak boleh didirikan secara berjemaah kerana bukan itu yang dilakukan di dalam hadis.
2) Tiada bacaan yang khusus di dalam solat hajat, iaitu rakaat pertama sekian bacaannya, rakaat kedua sekian bacaannya.
Berikut amalan, cara-cara dan waktu-waktu yang mana insya-Allah, merupakan jalan yang baik untuk kita memohon pertolongan Allah S.W.T. Segala apa yang ada di sini adalah hasil dari pembacaan dan juga pengajian penulis di dalam bidang hadis, dan diambil dari hadis-hadis yang sahih.

Waktu-waktu mustajabnya doa.
01.Satu pertiga malam
Iaitu di antara jam 3.30 pagi atau jam 4 pagi sehingga ke sebelum Subuh. Ini kerana, di dalam hadis Imam Muslim, Nabi S.A.W bersabda, maksudnya:
Allah S.W.T turun dari Arasy-Nya ke langit yang pertama, (iaitu langit dunia) di sepertiga malam, seraya bersabda kepada para malaikat yang menjaga langit pertama, "Adakah di antara hambaKu yang berdoa? Aku akan perkenankan. Adakah di antara hamba-Ku yang memohon keampunan? Nescaya akan aku ampunkan dosanya". Maka sepertiga malam, atau solat tahajud merupakan waktu yang sangat afdhal untuk kita berdoa kepada Allah S.W.T.
02.Sewaktu hujan turun
Ketika ini, pintu rezeki dari langit sedang terbuka luas.
03.Waktu di antara dua khutbah khatib pada solat Jumaat
Sepertimana yang telah kita sedia amalkan di mana antara dua khutbah, imam akan membacakan doa dan selawat. Namun adalah lebih afdhal andai di sini kita berdoa secara individu, sebagaimana yang penulis lihat telah mula diamalkan di sesetengah masjid di kawasan Selangor. Ini kerana setiap jemaah yang datang mempunyai hajat, keperluan dan doa yang berlainan di antara satu sama lain.
04.Sewaktu membacakan syahadah akhir setiap kali waktu solat
Oleh itu nabi Muhammad S.A.W telah mengajarkan kita doa yang khusus untuk dibacakan di sini, yang akan penulis garapkan di bawah.
05.Tempoh masa dari azan hingga iqamat, dan juga sewaktu bilal telah iqamat untuk solat, dan sewaktu masuk ke dalam saf.
06.Setiap sujud di dalam setiap waktu solat
Nabi Muhammad S.A.W menyuruh kita memanjangkan sujud kita andai kita mempunyai sebarang doa, dan baginda tidak pernah mengkhususkan sujud mana yang perlu dipanjangkan sama ada sujud di rakaat pertama, kedua, ketiga, atau keempat. Maka, kita boleh memanjangkan mana-mana sujud untuk meluangkan masa berdoa kepada Allah S.W.T. Adapun jikalau doa yang ingin dibacakan semasa sujud ini adalah di dalam bahasa selain bahasa Arab, maka hendaklah dibacakan di dalam hati, kerana selain bahasa Arab akan membatalkan solat. Itu merupakan kata-kata para ulama' fekah termasuk As-Syafi'e rahimahullah.
07.Waktu dhuha
Waktu Dhuha ialah waktu setelah berakhirnya masa tahrim (waktu yang diharamkan solat, dari selepas solat subuh sehingga waktu:
1) Menurut Nabi Muhammad S.A.W, bangunnya anak unta dari tidurnya atau
2) kata orang-orang tua kita, tinggi matahari sudah mencapai dua galah iaitu lebih kurang sejam sebelum masuknya solat Zohor.
Malahan di antara fadhilat solat Dhuha ialah memurahkan rezeki. Insya-Allah...

Amalan-amalan yang memustajabkan doa.
01.Memperbanyakkan amalan-amalan yang sunat setelah kita sudah mencukupkan amalan-amalan yang wajib.
Adapun amalan-amalan sunat yang sunnah, sila rujuk kepada artikel penulis "Mengejar Cinta Pemilik 'Arasy".
02.Memanjangkan sujud di dalam solat, dan berdoa di dalamnya sebagaimana yang penulis jelaskan di atas.
03.'Menebus' kembali amal baik yang telah kita lakukan.
Seperti yang kita dapati di dalam surah Ali-Imran, yang merupakan bacaan yang baik untuk solat Tahajjud, iaitu,
"Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam Neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun; Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada Iman, katanya: ` Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu ', maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti; Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui rasul-rasul-Mu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji." [Ali-Imran 3:192-194]
Kita lihat di sini sebagai dalil, bahawa boleh bagi kita setelah beramal baik, untuk kita menebus kembali (claim) daripada Allah S.W.T agar memustajabkan doa kita. Hal ini juga telah penulis bawakan di dalam kisah tiga orang sahabat yang terperangkap di dalam gua.
04.Menghulurkan pertolongan.
Menolong orang lain, terutamanya mereka yang dekat dengan kita seperti kaum keluarga dan sahabat handai. Ini kerana sabda nabi S.A.W, "Andai kamu menolong saudara kamu, Allah akan permudahkan bagi kamu urusan kamu".
05.Sabar.
Sabar dalam menghadapi ujian Allah S.W.T. Doa orang yang bersabar sangat didengari Allah S.W.T.

Doa-doa yang mustajab.
01.Ingin penulis kongsikan di sini beberapa doa yang sangat mustajab untuk dibacakan ketika memohon pertolongan Allah S.W.T. Salah satu daripadanya:
"Allahumma inni as aluka anniy asyhaduka annaka antaAllah, laa ilaa ha illa anta, al-waahidus somadul lazi lam yalid walam yuulad, walam yakun lahu kufuan ahad", yang bererti:
"Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu, dengan bahawasanya aku menyaksikan bahawa Engkaulah Allah, tiada Tuhan yang selayaknya disembah melainkan Engkau, Engkau Maha Esa, tempat meminta, Engkau tidak beranak dan Engkau tidak dilahirkan, dan tiada bagi-Mu tandingan dari sesuatu apapun."
Doa ini merupakan doa seorang sahabat yang didengari Rasulullah S.A.W, lalu baginda S.A.W bersabda, "Engkau telah berdoa kepada Allah S.W.T dengan tauhid-Nya, yang mana jika engkau berdoa dengannya nescaya pasti akan Dia kabulkan." Hadis Hasan riwayat Imam Ahmad.
02.Doa Nabi Musa A.S sebagaimana yang direkodkan di dalam al-Quran, "Rabbi syrah li sodri, wa yassirli amri, wahlul 'uq datan min lisaniy, yafqahu qauliy", bermakna:
"Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku, permudahkanlah urusanku, dan bukalah simpulan dari lidahku, agar mereka memahami perkataanku."
03.Membaca nama-nama Allah S.W.T, yang berkaitan dengan doa kita.
Sebagai contoh, ar-Raazik (Maha Pemberi Rezeki) jika memohon rezeki, al-Ghafuur(Maha Pengampun) jika memohon taubat, ar-Rahiim (Yang Maha Pengasih) jika memohon belas kasihan, al-Jabbar (Yang Maha Kuat) jika memohon pembelaan dan juga lain-lain.
Bahkan afdhal juga jika dibacakan kesemua 99 nama Allah, dan berdoa setelah membacanya. Ini kerana sabda nabi S.A.W, "Nama-nama Allah seratus kurang satu, sesiapa yang menghitungnya (menghayati dan mengamalkan) akan masuk Syurga". Maka dengan itu nama-nama Allah sangat mustajab jika didahulukan sebelum berdoa.
04.Doa tahiyat akhir, iaitu "Allahumma 'auzubika min 'azaabi jahannam, wa 'auzubika min 'azaabil qabri, wa 'auzubika min fitnatil mahyaa wal mamaat, wa min syarri fitnatil masiihid dajjal", maksudnya:
"Ya Allah ya tuhanku, aku berlindung dengan-Mu dari seksa Jahanam, dan aku berlindung denganMu dari seksa kubur, dan aku berlindung dengan-Mu dari fitnah orang yang hidup atau mati, dan aku berlindung denganMu dari fitnah al-Masih Dajjal"
Sungguh jika kita lihat secara teliti, dan kita pelajari dengan minda dan hati yang terbuka, kita akan dapati terlalu banyak doa dan amalan yang membawa kepada mustajabnya doa kita. Andai kita cuba beramal dengan semuanya, nescaya kita tidak akan mampu untuk beristiqamahdengannya. Kerana itu kita katakan bahawa ibadah baginda S.A.W adalah ibadah yang paling sempurna.
Penulis mengharapkan agar kita semua dapat berbalik kepada keindahan sunnah nabi S.A.W, dan kembali mengikuti cara dan saranan baginda S.A.W di dalam beribadah, agar doa kita tergolong di dalam doa-doa yang mustajab.
Ya Allah... Aku berlindung dengan-Mu dari doa yang tidak mustajab dan dari ilmu yang tidak berguna.
Ya Allah... Aku berlindung dengan-Mu dari najis bid'ah dan syirik.
Ya Allah peliharalah kemurniaan aqidah kami kepada-Mu.
Selawat dan salam ke atas rasul junjungan Muhammad S.A.W, ahli keluarga baginda dan sahabat handai baginda yang beroleh kebaikan di sisi-Mu.
Ya Allah... Bimbinglah kami selama mana kami hidup bernafas, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang mendapat kebaikan di sisi-Mu.
Ya Allah... Sudahkah aku sampaikan pesanan-Mu...?

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered By Blogger