Salam ukhwah buat semua muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah S.W.T,
Hidup berseorangan tanpa teman memang memeritkan. Bayangkan hidup bersendirian tanpa perbualan, dan mengharungi semua onak duri tanpa sahabat. Sahabat adalah individu yang sebenarnya paling hampir dengan kita selain daripada keluarga. Malah dalam Islam, kita diwajibkan menghormati sahabat-sahabat kita baik yang muslim atau yang bukan muslim.
Malangnya, bukan semua manusia yang dianggap sahabat itu akan berterusan menjadi sahabat dalam hidup kita. Kadang-kala permasalahan dan konflik yang timbul antara kita dan sahabat akan merenggangkan sebuah ikatan persahabatan itu. Ada juga kes seperti kawan makan kawan atau dalam bahasa yang lebih indah 'gunting dalam lipatan'. Bagi saya, seseorang sahabat akan menjadi lawan sekiranya sikap-sikap negatif dalam diri tidak dibendung. Sifat-sifat seperti dendam, cemburu, sombong dan angkuh menjadikan seorang sahabat itu bertukar menjadi seorang yang berlainan dan akhirnya menjadi lawan.
Tetapi tidak juga dinafikan dalam banyak-banyak sahabat, ada juga yang betul-betul ikhlas. Bilangannya mungkin cuma segelintir, namun ia turut bergantung atas diri kita untuk memilih sahabat yang benar-benar ikhlas.
Dalam hubungan persahabatan yang pernah anda jalinkan, Sudah tentu anda pernah berselisih faham dan tidak bertegur siapa dengan rakan-rakan. Cuba anda muhasabah semula diri anda, adakah perselisihan itu berpunca daripada kesalahan yang sememangnya anda lakukan ataupun tidak? Jika perselisihan itu berpunca daripada anda sendiri, usah egountuk meminta maaf dan jangan segan untuk membina semula hubungan persahabatan kalian. Cuba-cubalah mulakan bicara, kerana ada kalanya bicara anda boleh memujuk hati yang sedang marah. Namun pasti, semuanya perlu dilaksanakan penuh hikmah.
Jika maaf anda seakan-akan tidak diterima, cubalah berusaha membaiki keadaan dengan perbuatan pula. Anda mungkin boleh membelikan makanan atau hadiah untuk sahabat anda terutama ketika hari-hari istimewa dalam hidupnya. InsyaAllah sahabat anda akan memaafkan kesilapan-kesilapan anda sebelum ini. Sekiranya masih tidak dimaafkan berdoalah kepada Allah agar dilembutkan hatinya kerana Allah yang Maha Berkuasa untuk melembutkan hati yang sedang marah.
Jika perselisihan anda dan rakan berpunca daripada kesalahan rakan anda sendiri, maafkan lah dia dan cubalah untuk meyakinkannya bahawa anda sudah memaafkan semua kesalahannya. Ya, memang susah untuk melupakan kesalahan seseorang terutama jika mereka telah melakukan kesalahan yang sangat besar terhadap kita seperti membocorkan rahsia dan sebagainya. Ambillah masa anda untuk bermunajat kepada Allah dan mintalah Allah tunjukkan jalan yang terbaik. Selepas hati anda tenang, cubalah untuk melupakan dan berikanlah rakan anda tersebut peluang.
Perlu anda ingat, anda sudah berkali-kali melakukan dosa kepada Allah, baik dosa kecil yang acapkali dibuat tanpa sedar mahupun dosa besar yang dibuat dengan sengaja. Dosa yang anda lakukan kepada Allah itu lebih berat jika dibandingkan dengan kesalahan yang rakan anda lakukan terhadap anda. Akan tetapi, Allah Maha Pengampun. Sejahat-jahat mana pun anda Allah tetap akan mengampunkan dosa anda dengan penuh rahmat dan kasih sayang sekiranya anda bertaubat nasuha dan memohon kemaafan daripada-Nya. Maka apalah salahnya sekiranya anda memaafkan rakan-rakan anda yang berbuat kesalahan kerana Insya-Allah, Allah akan mengurniakan anda dengan ganjaran pahala yang lebih berlipat ganda. Tidak mahukah anda.?
Seperti yang telah saya katakan diatas, ada banyak jenis kawan yang kita akan dan pernah jumpa. Ada yang sangat baik, baik, sederhana baik dan kurang baik. Tetapi siapalah kita untuk menilai orang lain? Nilailah diri sendiri sebelum menilai orang lain. Adakah anda tergolong dalam golongan sahabat yang baik ataupun tidak? Sebagai seorang sahabat yang baik, kita wajib mendoakan kesejahteraan sahabat-sahabat kita agar segala perbuatan yang mereka lakukan diberkati Allah.
Ingat lah, berbuat baik berpada-pada, tetapi berbuat jahat jangan sekali. Biarlah apapun orang lain dan kawan-kawan kita mengata di belakang kita adalah lebih baik anda kita memaafkan mereka, jangan dibalas perbuatan jahat dengan melakukan perkara jahat, balaslah dengan perbuatan yang baik. Terimalah segala tohmahan yang diberi dan tabah. Insya-Allah segala perkara yang kita buat dengan niat suci dan keikhlasan akan dibalas dengan kebaikan yang berkali ganda.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
"Teman akrab pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang bertakwa." -Surah al-Zukhruf, ayat 67
No comments:
Post a Comment