Firman Allah SWT dalam surah At-Tin, ayat 4 bermaksud:
"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)."
Amat benar. Sebaik-baik kejadian manusia, antaranya dibekalkan dengan akal dan pancaindera. Semuanya dianugerahkan demi manusia membina tamadun di atas muka bumi ini. Bermula dengan diri sendiri, membawa kepada pembentukan keluarga, masyarakat dan negara.
Begitulah penghargaan Allah kepada manusia, sesuai dengan tanggungjawab utamanya untuk menjadi khalifah di atas muka bumi. Kelebihan yang diberikan menggambarkan betapa manusia adalah sebaik-baik kejadian, untuk memakmurkan bumi. Berbekalkan akal, manusia menggunakannya ke jalan yang Allah redhai.
Namun, manusia lupa untuk bersyukur. Manusia mudah melakukan kerosakan. Bukan setakat merosakkan bumi, bahkan bermula dengan diri mereka sendiri. Mengubah apa yang telah Allah ciptakan dan tetapkan untuk mereka. Lebih teruk, mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.
Lelaki mengubah diri menjadi wanita. Begitu juga sebaliknya. Lebih luas, pelbagai penggubahan, tanpa memikirkan mereka sedang melakukan kekufuran nikmat. Ya, mengubah apa yang telah Allah ciptakan. Pelbagai bentuk penggubahan dilakukan hanya kerana inginkan kecantikan, kelihatan hebat dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment